Monday 29 October 2012

Promosi Tiket Percuma Legoland

Musim cuti sekolah semakin hampir. Ramai yang dah mula berfikir kemana nak bawa anak-anak bercuti. Biasalah, asal cuti sekolah sahaja tentu tak sah kalau tidak bercuti bersama keluarga. Kalau tak dapat pergi lama-lama, pergi sehari pon cukuplah. Ada juga bahan untuk anak-anak bercerita di sekolah nanti.

Semasa berhenti di stesen minyak Petronas sekembali dari mengambil anak balik sekolah tadi, saya membeli air kotak Dutch Lady untuk anak seorang satu. Di belakang setiap kotak ada voucher promosi untuk ke Legoland Johor. Ia tertulis 'Kids Go Free'.. maksudnya kanak-kanak di bawah umur 11 tahun boleh masuk Legoland tanpa bayaran. Wah, ini sudah bagus, betul tak?

Gunting saja voucher di belakang kotak minuman Dutch Lady dan tunjukkan di kaunter Legoland Malaysia.

Tiket masuk ke Legoland agak mahal sebenarnya. Harga setiap tiket berharga lebih dari RM100/seorang. Jadi, amatlah rugi jika tidak memanfaatkan voucher dari Dutch Lady ini. Harga air kotak baru RM1.80, jadi bayangkan berapa banyak kita boleh jimat dengan menggunakan voucher ini.

Harga sebenar di kaunter dan pembelian secara atas talian (online)

Promosi ini akan berakhir pada Mac 2013. Jadi sesuai sangatlah kalau nak bawa anak-anak ke Legoland pada cuti sekolah ini!

Untuk maklumat lanjut, lawati http://www.legoland.com.my/dutchlady/

Signed-off!


Wednesday 24 October 2012

Percutian Keluarga dengan Penginapan Murah

Setiap percutian memerlukan tempat untuk bermalam, sama ada percutian pendek atau panjang. Terdapat banyak jenis penginapan yang kita boleh dapati di pasaran dimana harga masing-masing bergantung kepada pelbagai faktor. Untuk yang bercuti bersama keluarga seperti saya, keselesaan dan keselamatan adalah faktor utama. Saya mahukan anak-anak berasa selesa seperti berada di rumah sendiri sambil menikmati percutian kami. 

Antara kriteria minimum dalam pemilihan penginapan untuk melancong bersama keluarga ialah;
1. Mempunyai ruang yang luas untuk anak-anak bergerak dan bermain.
2. Mempunyai fasiliti memasak untuk saya sediakan makanan berkhasiat untuk keluarga terutamanya sarapan (dan untuk tapau dan makan secara berpiknik di luar nanti - ini pilihan yang murah!!)
3. Mempunyai fasiliti membasuh baju sebab kami tidak mahu membawa terlalu banyak pakaian. Bawa 2-3 pasang sahaja dan basuh setiap hari untuk dipakai semula.

Jadi,berdasarkan kriteria di atas hanya dua jenis penginapan yang memenuhi syarat iaitu;
1.    Hotel apartment (side track sket.... i suka tengok the Apartment Style Edition...heheh!!)
2. Homestay (rumah atau apartment persendirian yang dijadikan rumah rehat sewaan harian/mingguan)

Antara kedua-kedua jenis penginapan di atas, sudah tentulah homestay menjadi pilihan termurah. Di Malaysia, kita boleh menginap di sebuah rumah atau apartment yang mempunyai 3 bilik tidur dan 2 bilik air dengan harga serendah RM100 semalam! Jangan harap untuk mendapatkan hotel apartment dengan harga sebegini. Ada juga yang menawarkan harga lebih murah daripada itu, dan ada juga yang setinggi RM1000 semalam. Harga ini bergantung kepada keadaan rumah/apartment tersebut, lokasi dan fasiliti yang disediakan. Kita hanya perlu bijak menggunakan internet untuk mencari senarai homestay yang menarik dan pada masa yang sama menepati bajet kita. 

Dengan lambakan homestay yang banyak di Malaysia, saya pasti ramai yang boleh keluar bercuti bersama keluarga tanpa perlu risau tentang kos yang tinggi. Untuk bercuti 3 hari 2 malam di Malaysia dengan menggunakan homestay sebagai tempat bermalam, masak makanan sendiri dan basuh pakaian sendiri dengan menggunakan fasiliti yang disediakan, RM500 pasti cukup untuk anda sekeluarga. Jadi, apa tunggu lagi, jom melancong di negara kita sendiri bersama keluarga tercinta.

Signed off!

Monday 22 October 2012

Kelebihan dan Kekurangan Percutian Pakej untuk Keluarga

Terdapat banyak percutian secara pakej yang terdapat di pasaran. Saya tidak berapa menyukai percutian pakej bila keluar melancong bersama keluarga, jadi pendapat saya di bawah ini mungkin agak berat sebelah. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya semata-mata. Namun, saya tidak menyangkal yang pakej pelancongan yang baik juga ada di pasaran, cuma mungkin bilangannya kurang. 


Kebaikan Percutian Pakej untuk Keluarga (Pros)

Ramai yang mengambil keputusan untuk menggunakan pakej pelancongan untuk memudahkan aktiviti lawatan di tempat yang dituju. Bagi mereka yang mempunyai kurang maklumat tentang tempat yang ingin dilawati, percutian pakej adalah penyelesaian yang paling mudah. Tak perlu risau tentang pengangkutan, makanan dan keselamatan. Pemandu pelancong akan bawa kita ke tempat-tempat yang dijanjikan dan penerangan akan diberikan mengikut keperluan. Tiada masalah tersesat atau tersalah jalan bila bersama dibawa oleh pemandu pelancong.

Kekurangan masa adalah antara penyebab mengapa percutian pakej digunakan. Tanpa perlu risau tidak cukup masa, pemandu pelacong akan memastikan yang kita akan pergi ke tempat-tempat yang dijanjikan dalam jangkamasa percutian kita. Jadi, tiada isu tidak dapat pergi ke satu-satu tempat jika kita betul-betul ikut jadual program yang disediakan.

Pakej juga menyediakan makan-minum utama seperti sarapan dan makan tengahari di dalam jadual perjalanan. Jadi, kita tidak perlu pening kepala untuk mencari tempat sesuai untuk makan di tempat yang kita sendiri tidak biasa, terutama sekali di tempat yang sukar untuk mencari makanan halal.

Perbezaan bahasa adalah masalah besar untuk berkomunikasi di tempat yang kita lawati, jadi pemandu pelancong adalah penyelesaian bagi masalah ini. Sebenarnya kita tidak perlu berkomunikasi dengan orang lain langsung dengan adanya pemandu pelancong. Kalau perlupun, mungkin ketika membeli-belah.

Kekurangan Percutian Pakej untuk Keluarga (Cons)

Kalau anda perasan, percutian pakej kebanyakannya tidak berapa sesuai untuk percutian keluarga, terutama sekali jika kita mempunyai anak-anak kecil dan warga tua. Apa tidaknya, pakej yang ada di pasaran biasanya mempunyai jadual perjalanan yang amat ketat. Biasanya program lawatan akan bermula sebaik sahaja anda tiba di lapangan terbang. Tanpa mengira sama ada anda masih penat/mengantuk (jetlag) kerana penerbangan yang lama, anda akan terus diusung untuk melihat tempat lawatan sebelum mendaftar masuk ke bilik di hujung hari. Anda juga harus ingat yang program lawatan akan dimulakan awal pagi setiap hari. Kalau anda lewat, anda akan ketinggalan. Kalau nak join di lain hari, kos tambahan dikenakan.

Percutian yang terkejar-kejar dek kerana mengikut program lawatan yang ketat akan menyebabkan anak-anak dan warga tua cepat penat. Macam biasa, mereka ini sukar dijangka. Nak ke tandas tidak mengira masa, ada kalanya mengantuk jadi nak rehat tidur sekejap (short nap), kadang-kadang nak makan di luar waktu makan yang ditetapkan dan macam-macam karenah lagi. Jika mereka dipaksa walaupun telah penat, mulalah ada yang tunjuk muka dan kanak-kanak biasanya akan menangis dan buat perangai.
Anak-anak take-5 untuk minum susu adalah perkara biasa

Anda juga tentu perasan yang percutian pakej juga biasanya akan diselitkan dengan lawatan ke kedai/kilang tertentu. Kadang-kadang lebih daripada satu. Tempat-tempat begini biasanya tidaklah semenarik mana, tetapi anda akan ditinggalkan di situ untuk suata jangkamasa yang agak panjang. Mereka juga tidak membenarkan kita mengeluarkan lawatan ini daripada pakej (kalau keluarkan juga, kos tidak akan dikurangkan). Mengapa? Jawapannya mudah, syarikat pelancongan dan pemandu pelancong kita itu akan mendapat komisyen untuk setiap kunjungan pelancong dan setiap pembelian.

Satu lagi yang saya kurang gemar dengan percutian pakej ialah pakej makanan yang disediakan biasanya akan diadakan di restoran-restoran yang kurang kehadiran pelanggan lain (kalau adapun, mereka adalah dari pelancongan pakej juga). Ini menunjukkan yang restoran tersebut bukanlah antara yang paling bagus di kawasan itu. Sepatutnya sebagai pelancong, sudah tentu kita nak menikmati makanan yang paling terkenal di tempat orang tempatan lain menikmatinya. Malangnya kita dibawa makan di restoran-restoran tertentu sahaja kerana syarikat pelancongan itu akan mendapat komisyen daripada restoran tersebut.

Percutian pakej juga sebenarnya agak mahal dari percutian sendiri (DIY - Do It Yourself). Ini disebabkan oleh margin keuntungan dan komisyen-komisyen tertentu. Kita boleh mendapat percutian yang lebih selesa jika kita DIY, cuma kena rajin buat homework sedikit tentang tempat yang dituju. Saya menggunakan kaedah DIY semasa bercuti bersama keluarga di Sydney baru-baru ini dan hasilnya amatlah memuaskan.

Kesimpulan

Ada kebaikan dan keburukan untuk segala benda, jadi kita perlu bijak untuk membuat pilihan yang bersesuaian dengan keperluan kita.

Signed off!

Saturday 20 October 2012

Penerbangan Tambang Murah di Asia

Bercuti dengan keluarga memerlukan balanja yang tinggi, terutama sekali untuk percutian yang melibatkan kapal terbang sebagai medium pengangkutan. Kewujudan penerbangan tambang murah membolehkan ramai orang biasa untuk terbang. Jadi tidak hairanlah bila Airasia menjadi pilihan setiap kali kita terfikir untuk menaiki kapal terbang. Namun, untuk mengurangkan kos perbelanjaan, amatlah wajar untuk kita tahu alternatif lain yang kita boleh gunakan sekiranya Airasia kehabisan tiket.

Menggunakan penerbangan tambang murah bukanlah bermaksud memilih perkhidmatan tidak berkualiti atau tidak selamat semata-mata untuk murah. Seperti syarikat penerbangan yang lain, kualiti dan keselamatan tetap menjadi keutamaan. Cuma, penerbangan tambang murah hanya memerlukan kita membayar bagi servis yang kita perlukan sahaja. Tidak perlu bayar kos makanan jika kita hanya mahu tidur disepanjang penerbangan, atau membayar 20kg muatan beg jika kita hanya mahu membawa sebuah beg sandang (backpack). Jadi, mengapa bayar lebih?

Sebenarnya ada lebih daripada 10 syarikat penerbangan tambang murah di Asia, namun kebanyakan daripada kita tak tahu tentang kewujudan mereka. Sebabnye kurang publisiti tentang syarikat penerbangan tersebut di Malaysia. Yang paling kerap kita dengar ialah Airasia dan Firefly.

Airasia adalah syarikat penerbangan tambang murah yang paling banyak menerima penganugerahan, bukan sahaja di Asia tetapi di peringkat dunia. Sejak 2009 sehingga 2012, syarikat milik anak Malaysia ini telah merangkul anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Murah Terbaik Dunia. Firefly pula adalah anak syarikat Malaysia Airlines (MAS) yang tidak kurang hebatnya, namun lingkaran penerbangan masih amat terhad.

Antara syarikat penerbangan tambang murah lain yang perlu kita ketahui selain Airasia dan Firefly untuk mengambil kesempatan di atas tambang murah dan promosi-promosi yang sering diadakan ialah;

1. Tiger Airways - http://www.tigerairways.com 
Syarikat dari Singapura ini mempunyai laluan penerbangan yang luas, termasuk ke Eropah dan Australasia. Boleh naik dari KLIA dan Penang Airport. Kebanyakan penerbangan akan transit di Singapura dulu.
 
2. Jetstar - http://www.jetstar.com/my/en/home
Syarikat dari Australia ini juga mempunyai jaringan penerbangan yang luas.Kebanyakan promosi adalah untuk penerbangan dalam negara Australia sendiri.

3. Lion Air - www2.lionair.co.id/
Lion Air beribu pejabat di Indonesia. Kebanyakan tambang murah untuk penerbangan dalam negara Indonesia boleh didapati. Tahukah anda yang Lion Air juga terbang ke Melaka dan Jeddah? Menarik, bukan?
 
4. Spring Airlines - http://www.china-sss.com/en
Syarikat yang beribu pejabat di China ini hanya meliputi negara China dan beberapa lokasi di negara jiran seperti Bangkok sahaja.
 
5. Bangkok Airways - http://www.bangkokair.com/eng
Mereka terbang di dalam negara Thailand sahaja.
 
6. Hongkong Airlines - http://www.hongkongairlines.com/en_HK/homepage
Terbang di dalam negara China sahaja.
 
7. IndiGo - http://book.goindigo.in/skylights/cgi-bin/skylights.cgi
Terbang di dalam negara India sahaja.
 
8. Nokair - http://www.nokair.com/
Terbang di dalam negara Thailand sahaja.
 
9. Mandala - http://www.mandalaair.com/
Terbang di dalam negara Indonesia sahaja.

10. Jeju Air - http://www.jejuair.net/
Terbang di dalam negara Korea sahaja.

Rajin-rajinlah melawat website syarikat penerbangan di atas untuk mendapatkan promosi terbaru mereka yang kebiasaannya murah dari biasa. Ataupun langgani sahaja promosi mereka dengan mendaftarkan alamat email kepada mereka dan mereka akan hantar email kepada kita setiap kali promosi diadakan. Mudah, kan?

Signed off!

Bagaimana Merancang Percutian Keluarga


Percutian bersama keluarga bukan saja memerlukan belanja yang tinggi tetapi juga perancangan awal terutama sekali bila ahli keluarga kita ramai. Jadi amat penting untuk kita plan betul-betul mana nak pergi, bila dan siapa akan turut serta. Maklumat ni penting untuk:

1. Rancang Jadual Perjalanan / Program Lawatan
Ada yang pandang mudah tentang perkara ini, kononnye bila dah sampai di tempat yang dituju nanti tahulah apa nak buat. Tapi hakikatnya kita akan banyak terlepas sesuatu yang menarik jika tak rancang awal-awal. Hari pertama nak buat apa, kedua, ketiga dan seterusya. Jadi senang nak bajet duit dan keperluan percutian.

2. Buat Pengiraan Bajet (Budget Estimates)
Pengiraan bajet boleh dilakukan bila kita tahu berapa hari kita akan bercuti, program lawatan, berapa ramai turut serta, cuaca dan kos sara hidup di tempat tersebut.

Bila kita dan ada maklumat di atas, bolehlah kita buat pengiraan kasar tentang;
- kos agensi pelancongan (tour package) (kalau guna khidmat agensi pelancongan)
- kos beli barang-barang keperluan untuk ke tempat tersebut (contohnya baju sejuk tebal-tebal kalau nak melawat Korea di musim sejuk yang bersalji)
- kos makan-minum, jajan, aiskrim..
- kos tempat penginapan
- kos pengangkutan (tol, minyak kereta, bayaran teksi, tiket penerbangan, tiket keretapi atau lain-lain lagi)
- harga tiket masuk ke tempat-tempat lawatan
- kos beli buah tangan untuk dibawa balik (souvenirs)
- kos insuran perjalanan (jika perlu)
- wang reserve untuk keperluan semasa kecemasan(contohnya anak tetiba sakit so kena bawa jumpa doktor segera)
- lain ( contohnya tips untuk agen pelancongan)

Kita boleh gunakan internet untuk mendapat maklumat tentang harga dan kos-kos tertentu kalau kita tak tahu. Atau boleh saja bertanyakan kawan-kawan yang dah pernah ke sana untuk membantu kita membuat pengiraan.

3. Sediakan Wang Mengikut Pengiraan Bajet
OK, yang paling susah sebenarnya ialah menyimpan duit untuk percutian idaman ni. Sebaiknya jangan meminjam untuk bercuti. Memang ada agensi pelancongan yang menyediakan kemudahan bayaran ansuran, cuma pada saya tidak berbaloi berhutang semata-mata untuk bercuti. Ada banyak cara untuk mengurangkan bajet perbelanjaan... antaranya kalau tak mampu bercuti ke luar negara, bercuti sahaja di dalam negara, kalau tak mampun tinggal di hotel lima bintang bertukar sahaja ke homestay, kalau tak cukup duit tahun ini tunda sahaja ke tahun hadapan, dan sebagainya.

4. Plan cuti kerja dan mohon awal-awal
Untuk yang bekerja, penting untuk kita rancang tarikh bercuti dan bagitau bos awal-awal. bila bos tahu awal, dia boleh pon boleh merancang dari awal apa perlu buat bila kita takde.. contohnya dapatkan orang lain cover kita. kalau lambat bagitau, takut orang lain dah book cuti dulu, dan kita akan melepas.

5. Book Pengangkutan
Bila duit dah cukup dan cuti sudah diluluskan, bolehlah book pengangkutan utama seperti keretapi, bas ekspress atau kapal terbang. Pengangkutan jenis ni kena book awal terutama pada hujung minggu, musim perayaan dan cuti sekolah sebab tiket selalu cepat habis. Harga tiket juga akan bertambah mahal jika beli pada saat-saat akhir, ini amat benar untuk tiket kapal terbang. Tahukah anda yang harga tiket kapal terbang boleh mencecah tiga kali ganda lebih mahal dari harga pada 6 bulan sebelumnya? 

6. Book Penginapan
Sama seperti pengangkutan, booklah penginapan hanya selepas cuti diluluskan dan wang sudah cukup. Keperluan bercuti bersama keluarga agak unik jadi kita tentu ada kriteria tertentu bila memilih jenis dan lokasi penginapan tersebut, jadi booklah awal sebelum orang lain sambar dulu. Bila pilihan yang sudah disesuaikan dengan bajet sudah tiada yang kosong, kita mungkin terpaksa naik taraf jenis penginapan... akibatnya terpaksa tambah duit lagi. Tahukah anda yang kita boleh book pada harga yang amat murah sehingga 20% jika book awal? Caranya ialah dengan book online dari website-website yang boleh dipercayai seperti Booking.com dan Agoda.com. Cubalah..

7. Sediakan Keperluan Percutian
Kalau ke luar negara, jangan lupa tentang passport, visa dan vaksin (jika perlu). Paling kurang, kita perlukan bagasi dengan saiz yang sesuai dengan tempoh melancong dan berat yang dibenarkan oleh syarikat penerbangan (biasanya 20kg untuk kelas ekonomi. kalau nak lebih, kena tambah kos!). Insuran perjalanan untuk seisi keluarga juga amat wajar dan harganya tidaklah mahal. Jangan lupa sediakan keperluan percutian yang dirasakan mahal/sukar untuk didapati di tempat yang dilawati. Contohnya kamera, baju sejuk, pakaian renang dan sebagainya. Ohya, untuk yang ada penyakit tertentu, bawalah bekalan ubatan secukupnya. Mungkin berbaloi untuk mendapatkan surat doktor jika perlu membeli ubat tambahan nanti.

Mungkin ada lagi yang perlu dilakukan yang saya tidak senaraikan, tetapi sebagai panduan saya rasa senarai ini berbaloi unuk diberi perhatian.

Selamat bercuti!

Signed Off!

Wednesday 17 October 2012

Promosi Tambang Murah ke Brunei

Selamat sejahtera semua..

Masa selak-selak surat khabar semalam, ternampak promosi tambang murah ke Brunei berharga RM10 SAHAJA! Tu termasuk makanan dalam kapal terbang dan 20kg baggage allowance. Saya pon dengan excitednye gi internet untuk tengok details kat http://www.bruneiair.com/malaysia/
 

Rasanye ramai yang tak terfikir untuk melawat Brunei (termasuklah saya!) sebab rasa macam takde apa yang menarik untuk dilihat. Tapi sebenarnye kita salah! Brunei ada banyak tempat menarik, cuma dorang kurang promosikan pelancongan negara dorang.

Antara yang menarik ialah;
1. Istana Nurul Iman - ini ialah binaan bangunan kediaman yang paling banyak bilik di dunia (iyalah, sultan dia tokey minyak dan gas tuh..!).
2. Masjid Omar Ali Salifuddin - juga dikenali sebagai Masjid Emas.
3. Muzium Teknologi Melayu - semua berkaitan orang Melayu Brunei
4. Kampong Ayer - ada yang menggelarnye sebagai Venice of the East..betul ke?
5. Galeri Minyak dan Gas - of course la kan, Brunei kan kaya dengan hasil bumi ni..
dan banyak lagi.

Kalau ada rezeki, bolehlah kita ke sana...

Signed off!