Sunday, 31 May 2015

RESTORAN MAKANAN HALAL DI ITALI

Sebagai umat Islam, saya amat particular dengan makanan yang saya makan. Saya mahu ianya halal. Halal tidak terhad kepada bebas babi dan arak sahaja, tetapi mestilah disembelih dengan cara yang betul, tidak bercampur dengan bahan2 haram, serta peralatan memasak dan menghidang yang bersih. Sebagai traveller tegar, saya memastikan saya boleh mendapatkan makanan halal. Saya tak selesa dengan cara sesetengah travellers yang memberi alasan bermusafir untuk 'sembelih ayam di meja makan dengan baca doa makan' sahaja. Dan saya juga tak mahu jadi vegetarian sepanjang melancong.

Islam adalah antara agama yang mempunyai penganut yang amat ramai di serata dunia. Saya pasti, walau di mana sahaja kita pergi, pasti ada sumber makanan halal. Mahu tak mahu sahaja untuk mencarinya!
Baru-baru ini saya dan En. Suami ke Itali. Negara mat saleh ini bukanlah lubuk orang Islam; ia lebih dikenali dunia sebagai rumah kepada paderi tertinggi kristian katolik iaitu Vatican. Namun alhamdulilllah, makanan halal mudah kami dapati sepanjang di sana.


 
Yummy!!

Di sini saya kongsikan tempat-tempat makan halal yang kami pergi untuk panduan kita bersama..

ROME

Mendapatkan makanan halal di Rome amatlah mudah. Terdapat deretan kedai makanan halal betul-betul di luar pintu stesen keretapi Roma Termini. Kalau tak salah, ada dalam 4-5 buah kedai makanan milik Indian-Muslim di sana yang menyajikan nasi beriani berlauk ayam/kambing/ikan, ayam panggang, pizza, pasta dan gelato. Harga pizza dalam Euro 7-8 bergantung kepada perisa, nampak mahal tapi sebenarnya pizzanya bersaiz besar jadi boleh dimakan berdua. Harga ini tidak jauh lari daripada harga sebiji pizza di Pizza Hut Malaysia, betul tak? Gelato di sini berharga dalam lingungan Euro 1.50 - 2.50 untuk 2 scoops. Seekor ayam panggang berharga Euro 7, ia cukup untuk dinner 2 orang.

Deretan kedai makanan halal di hadapan Stazione Roma Termini

Kalau mahukan authentic Italian dishes, bolehlah ke Luna Caprese Restaurant yang terletak tidak jauh daripada Trevi Fountain. Pemilik restaurant yang juga chef, melayan kami dengan baik walaupun kami bercakap bagai ayam dengan itik. Sehabis makan pizza margherita, dia berikan pizza coklat sebagai pencuci mulut secara percuma. Harga pizza margherita yang kami makan ialah Euro 8. Pizza dibuat fresh masa tu jugak dia tebar dan tabur bahan-bahan.

Bersama dengan tokey Luna Caprese

Semasa di Luna Caprese, kami bertanya dengan tokey tu di mana boleh mendapatkan gelato halal buatan tangan yang yummilicious. Dia memberikan direction ke kedai gelato bernama Gelateria A. Cecere yang betul-betul berada di sebelah kanan Trevi Fountain itu. Benar bagai dikata orang, gelato di Itali sememangnya lain daripada lain. Sejak merasa suapan gelato pertama di sini, kami terus menjadi penggila gelato sepanjang di Itali; setiap hari 1-2 kali membeli gelato! Harga gelato di sini agak mahal sedikit iaitu Euro 2.50 untuk 2scoops, mungkin sebab kedudukannya yang amat strategik.


FLORENCE

Florence yang terkenal dengan hasil seni lukisan dan ukiran ini juga mempunyai beberapa kedai makan halal. Kedudukannya tidaklah semudah di Rome, namun tidaklah sukar untuk dicari.

Sepanjang di Florence, kami paling berkenan dengan Madina Mediterranean Restaurant yang terletak tidak jauh daripada Ponte Vecchio. Pemiliknya berasal daripada Pakistan, mereka menyajikan makanan itali dan pakistan. Kami makan pizza dan lasagna semasa kali pertama di sana. Mungkin sifat kami yang peramah tak tentu hala, pemiliknya dengan bangga mengeluarkan sekeping gambar dari laci mejanya dan meminta kami teka siapa gerangan yang bersalaman dengannnya dalam gambar tu. Siapa yang tidak kenal dengan Yang di Pertuan Agong Malaysia iaitu Sultan Abdul Halim! Katanya, baginda sultan kerap makan di restaurantnya ini dan suka order teh tarik. Patutlah ada 'tea tare' dalam menu mereka, rupa-rupanya dimasukkan selepas beberapa kali diminta oleh Sultan dan diberitahu ia adalah minuman kegemaran orang Malaysia.

Harga sebiji pizza di sini dalam Euro 8-12 bergantung kepada perisa. Pizza amat besar, so bolehlah berkongsi. Harga lasagna alla bolognese yang kami makan berharga Euro12 sepinggan. Saya perasan yang harga tea tare kebanggaan mereka ialah dalam Euro3,  tapi kami tak beli pon. Kami memang jenis order makanan jer, sebab lebih suka minum air kosong daripada air manis. Keluar dari kedai makan boleh minum air mineral... jimat..!
 
Hiasan dalaman restoran Madina Mediterranean

Selepas bertanyakan tentang gelato halal di Florence, pemilik restoren Medina itu membawakan kami ke kedai gelato yang terletak di sebelah restorennya. Katanya gelato di sana buatan tangan yang asli dan tidak mengandungi bahan-bahan haram. Nama kedai gelato itu ialah La Strega Nocciola. Benar bagai dikata, nociolla gelato (gelato badam) mereka paling sedap! Selama di Florence, kami ke sini 3 kali!!

Posing dengan aiskrim di depan kedai gelato La Strega Nocciola

Selain daripada itu, kami juga ke kedai makan 'The Grill' milik warga arab. Ia berada dalam 5min berjalan kaki dari stesen keretapi Santa Maria Novella. Menu makanan di sini lebih kurang dengan makanan turki yang banyak menyajikan kebab, ayam panggang dan nasi arab.


VENICE

Di bandar tua atas air ini juga tidak susah untuk mencari kedai makan halal. Dalam 5min berjalan kaki dari stesen keretapi Santa Lucia terdapat kedai Quanto Basta yang menyediakan makanan halal. Kedai makan ini amat dekat dengan Hotel Florida yang kami sewa. Kami pernah makan pizza margherita dan spagetti bolognese semasa di sini. Harga sebiji pizza ialah Euro 7.50. Harga takeaway adalah Euro 1 lebih mahal daripada dine-in, so sebagai pelancong bijak, kami makan je kat situ setiap kali datang.
 
Quanto Basta juga ada menjual gelato

Tidak jauh dari Ponte di Rialto yang popular juga ada sebuah kedai makan tidak bernama milik Pakistan yang menyajikan Italian Pizza dan kebab. Harga pizza sebiji Euro 7 juga. Sama seperti di Rome dan Florence, mereka tebar doh pizza masa tu juga jadi pizzanya fresh. Saya dan suami makan pizza sekali saja di sini sebab jauh daripada hotel.  Kalau nak authentic Italian pizza, singgahlah ke sini. Pizza nya boleh tahan!

 Kedai takde nama ni diusahakan oleh orang Pakistan. Saya namakannya kedai makan no. 267


AIR MINUMAN

Di Eropah termasuklah di Itali, air paip selamat untuk diminum. So, kita leh refill botol air mineral di mana-mana paip air yang kita nampak. Suami saya minum jer air paip tu, tapi saya tidak tergamak! Sebab masa kecik-kecik dah diajar air perlu di masak pada suhu 100degC untuk mematikan kumannya, (dan tahukah anda yang bakteria e-coli jika masuk dalam air minuman hanya boleh dibunuh pada suhu 100degC ke atas?) Alhamdulillah En. Suami tidak sakit perut itu bermaksud air di sana memang selamat diminum seperti yang diwar-warkan.

Memandangkan saya hanya minum air mineral (eh… air mineral pon tak dididihkan pada suhu 100degC, kata En. Suami dengan muka puas hati bila tengok saya terkedu, tapi saya tetap berdegil takmo minum air paip), jadi kami terpaksa juga beli. Kali pertama beli di Rome Fumicio Airport harganya Euro 2.10 untuk 500ml. Haa.. Amik ko! Kemudian beli di kedai makan dapat murah sikit iaitu Euro 1.50 sebotol untuk 500ml, tapi masih terasa mahal. Kami pasti ada kedai mini market / runcit yang menjual air mineral pada harga yang jauh lebih murah. Jadi kamipun gigih mencari akhirnya berjumpa. Ye, benar seperti di sangka, harga di kedai runcit hanyalah Euro 1/botol untuk 1.5L. Tapi, paling mantap ialah harga di mini market Conad iaitu hanya Euro 0.45/botol untuk 1.5L jika beli 1 karton. So kamipun mula memborong karton demi karton sejak hari itu demi untuk berjimat. Beli dan simpan di hotel, bila perlu refill botol sendiri untuk dibawa ke mana-mana.

Conad terdapat di serata Itali, kedai ni dah macam 99speedmart di Malaysia yang menjual macam-macam benda pada harga mampu milik. Selain air mineral, kami juga membeli buah strawberi (Euro 2 untuk 1 kotak dalam 20biji) dan borong coklat di sini.


Kesimpulan..

Saya rasa puas dari segi makanan semasa di Itali. Saya dapat menikmati makanan-makanan popular dan authentic negara itu seperti pizza, pasta dan gelato tanpa ragu-ragu. Negara ini kan memang terkenal dengan makanan tersebut, kalau tak makan memanglah amat rugi.

Selain daripada itu, kami juga makan dan borong coklat dengan banyaknya ketika di sana. Memandangkan tulisan di pek coklat semuanya dalam bahasa Itali, kami telah menggunakan aplikasi Goggles untuk menterjemahkan kandungan coklat yang ingin dibeli ke dalam bahasa Malaysia. Sebagai pelancong, jangan lupa install aplikasi Goggles ini ditelifon pintar korang. 


Oh ye.. Saja nak bagitau.. Kalau ke Itali, perkara pertama yang kita akan perasan ialah kebanjiran warga Bangladesh di setiap pelusuk negara. Dengan adanya mereka, sudah pasti ada makanan halal sebab mereka Muslim! Mereka adalah antara peniaga dan penjaja, terutamanya di lokasi-lokasi pelancongan. Walaupun saya tak berapa berkenan dengan orang bangla di Malaysia, tapi semasa di sana saya rasa bangga juga melihat orang Islam menguasai bisnes-bisnes di kawasan utama di Itali.

Alhamdulillah... makanan kami di Itali amat memuaskan hati. Dalam perjalanan pulang pon kami dihidangkan dengan makanan yang sodap... ini dia!

Ikan kod dan kentang putar untuk supper di dalam pesawat MAS

19 comments:

  1. bagaimana pula harga makanan di sana seperti pizza dan gelato...jika sudi kongsikan harga2 makanan yg telah dicuba di sna..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hmm..betul2, tak lengkap review ni tanpa harga, kan. OK, saya akan update. Thanks.

      Delete
  2. akak.br blk dr turki dan italia..
    xsia2 jadikan blog akak sbg guide.
    senang jg cr mknn halal di italia.
    dan piza di luna caprese itu sgtlah sedap..sungguh berbeda dgn piza di malaysia..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah.. bermanfaat juga :-)
      Sokmo berjalan ye... jeles tau!

      Delete
  3. Terima kasih atas perkongsian..in syaa allah akan ke italy soon..��

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selamat melancong. Itali kaya dengan sejarah yang menarik.

      Delete
  4. Terima kasih atas perkongsian maklumat..semoga pahala berterusan buat saudari

    ReplyDelete
  5. Impressnya baca penulisan dan perkongsian akak. Semangat saya nak kumpul duit p travel hihi

    ReplyDelete
  6. Good sharing... Byk info berguna.. Keep it up !

    ReplyDelete
  7. boleh kongsi bagaimana hendak menubuhkan restoran halal di luar negara? tidak kiralah mana mana negara pon.prosesnya rumit tak ? boleh email saya.puterahaziq15@gmail.com

    ReplyDelete
  8. berkongsi kedai makanan halal mmg bermanafaat dan dapat pahala ....inshaAllah akan ke Venice Ramadhan nanti...

    ReplyDelete
  9. Terima kasih atas perkongsian maklumat. Bermanafaat utk trip saya April 2017 nanti.

    ReplyDelete
  10. Thanks for sharing. Very useful & helpful.

    ReplyDelete