Monday 22 October 2012

Kelebihan dan Kekurangan Percutian Pakej untuk Keluarga

Terdapat banyak percutian secara pakej yang terdapat di pasaran. Saya tidak berapa menyukai percutian pakej bila keluar melancong bersama keluarga, jadi pendapat saya di bawah ini mungkin agak berat sebelah. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya semata-mata. Namun, saya tidak menyangkal yang pakej pelancongan yang baik juga ada di pasaran, cuma mungkin bilangannya kurang. 


Kebaikan Percutian Pakej untuk Keluarga (Pros)

Ramai yang mengambil keputusan untuk menggunakan pakej pelancongan untuk memudahkan aktiviti lawatan di tempat yang dituju. Bagi mereka yang mempunyai kurang maklumat tentang tempat yang ingin dilawati, percutian pakej adalah penyelesaian yang paling mudah. Tak perlu risau tentang pengangkutan, makanan dan keselamatan. Pemandu pelancong akan bawa kita ke tempat-tempat yang dijanjikan dan penerangan akan diberikan mengikut keperluan. Tiada masalah tersesat atau tersalah jalan bila bersama dibawa oleh pemandu pelancong.

Kekurangan masa adalah antara penyebab mengapa percutian pakej digunakan. Tanpa perlu risau tidak cukup masa, pemandu pelacong akan memastikan yang kita akan pergi ke tempat-tempat yang dijanjikan dalam jangkamasa percutian kita. Jadi, tiada isu tidak dapat pergi ke satu-satu tempat jika kita betul-betul ikut jadual program yang disediakan.

Pakej juga menyediakan makan-minum utama seperti sarapan dan makan tengahari di dalam jadual perjalanan. Jadi, kita tidak perlu pening kepala untuk mencari tempat sesuai untuk makan di tempat yang kita sendiri tidak biasa, terutama sekali di tempat yang sukar untuk mencari makanan halal.

Perbezaan bahasa adalah masalah besar untuk berkomunikasi di tempat yang kita lawati, jadi pemandu pelancong adalah penyelesaian bagi masalah ini. Sebenarnya kita tidak perlu berkomunikasi dengan orang lain langsung dengan adanya pemandu pelancong. Kalau perlupun, mungkin ketika membeli-belah.

Kekurangan Percutian Pakej untuk Keluarga (Cons)

Kalau anda perasan, percutian pakej kebanyakannya tidak berapa sesuai untuk percutian keluarga, terutama sekali jika kita mempunyai anak-anak kecil dan warga tua. Apa tidaknya, pakej yang ada di pasaran biasanya mempunyai jadual perjalanan yang amat ketat. Biasanya program lawatan akan bermula sebaik sahaja anda tiba di lapangan terbang. Tanpa mengira sama ada anda masih penat/mengantuk (jetlag) kerana penerbangan yang lama, anda akan terus diusung untuk melihat tempat lawatan sebelum mendaftar masuk ke bilik di hujung hari. Anda juga harus ingat yang program lawatan akan dimulakan awal pagi setiap hari. Kalau anda lewat, anda akan ketinggalan. Kalau nak join di lain hari, kos tambahan dikenakan.

Percutian yang terkejar-kejar dek kerana mengikut program lawatan yang ketat akan menyebabkan anak-anak dan warga tua cepat penat. Macam biasa, mereka ini sukar dijangka. Nak ke tandas tidak mengira masa, ada kalanya mengantuk jadi nak rehat tidur sekejap (short nap), kadang-kadang nak makan di luar waktu makan yang ditetapkan dan macam-macam karenah lagi. Jika mereka dipaksa walaupun telah penat, mulalah ada yang tunjuk muka dan kanak-kanak biasanya akan menangis dan buat perangai.
Anak-anak take-5 untuk minum susu adalah perkara biasa

Anda juga tentu perasan yang percutian pakej juga biasanya akan diselitkan dengan lawatan ke kedai/kilang tertentu. Kadang-kadang lebih daripada satu. Tempat-tempat begini biasanya tidaklah semenarik mana, tetapi anda akan ditinggalkan di situ untuk suata jangkamasa yang agak panjang. Mereka juga tidak membenarkan kita mengeluarkan lawatan ini daripada pakej (kalau keluarkan juga, kos tidak akan dikurangkan). Mengapa? Jawapannya mudah, syarikat pelancongan dan pemandu pelancong kita itu akan mendapat komisyen untuk setiap kunjungan pelancong dan setiap pembelian.

Satu lagi yang saya kurang gemar dengan percutian pakej ialah pakej makanan yang disediakan biasanya akan diadakan di restoran-restoran yang kurang kehadiran pelanggan lain (kalau adapun, mereka adalah dari pelancongan pakej juga). Ini menunjukkan yang restoran tersebut bukanlah antara yang paling bagus di kawasan itu. Sepatutnya sebagai pelancong, sudah tentu kita nak menikmati makanan yang paling terkenal di tempat orang tempatan lain menikmatinya. Malangnya kita dibawa makan di restoran-restoran tertentu sahaja kerana syarikat pelancongan itu akan mendapat komisyen daripada restoran tersebut.

Percutian pakej juga sebenarnya agak mahal dari percutian sendiri (DIY - Do It Yourself). Ini disebabkan oleh margin keuntungan dan komisyen-komisyen tertentu. Kita boleh mendapat percutian yang lebih selesa jika kita DIY, cuma kena rajin buat homework sedikit tentang tempat yang dituju. Saya menggunakan kaedah DIY semasa bercuti bersama keluarga di Sydney baru-baru ini dan hasilnya amatlah memuaskan.

Kesimpulan

Ada kebaikan dan keburukan untuk segala benda, jadi kita perlu bijak untuk membuat pilihan yang bersesuaian dengan keperluan kita.

Signed off!

2 comments: